KUALA LUMPUR - Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor memastikan Malaysia mara ke saingan peringkat kumpulan bola sepak Kelayakan Olimpik 2012 selepas jaringan mereka menumpaskan Lebanon 2-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Kedua-dua gol yang hadir seawal minit ketujuh dan 40 itu turut membawa skuad bawah 22 tahun negara bimbingan Ong Kim Swee menang 2-1 secara agregat setelah terikat tanpa jaringan di Stadium Sports City, Beirut, Ahad lalu. Pasukan pelawat yang dibimbing Samir Saad bagaimanapun cuba menyaingi ketika tuan rumah pincang beraksi dengan 10 pemain, malah berjaya merapatkan kedudukan menerusi Chadi Atie pada minit ke-64 setelah tuan rumah kehilangan pemain tengahnya, Gary Steven Robbat pada babak kedua kerana menerima kad kuning kedua. Lebanon juga lebih awal menguji penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat menerusi tandukan Mahmoud Kojok pada minit keempat dan Mohamad Haidar (keenam) yang bagaimanapun hanya terus kepada dakapan pemain Kelantan itu.
Hanya seminit kemudian, tuan rumah menunjukkan sentuhan siapa sebenarnya yang lebih tepat dalam gerakan penyudahan apabila membuka tirai gol hasil rembatan kaki kanan Mohd. Irfan Fazail. Ia berpunca daripada sepakan sudut dari sebelah kiri oleh Mohamad Muslim Ahmad dan selepas satu percubaan jarak dekat pertama sempat diadang pemain lawan lantas stadium bergema dengan sorakan gol diraikan lebih 10,000 penyokong.
Permainan tiba-tiba diberhentikan pada minit ke-27 kerana pengadil Jepun, Toma Maasaki mengadu terdapat pancaran cahaya laser daripada penonton. Menyambung aksi seminit kemudian, Mohamad Fandi Othman bagaimanapun mensia-siakan pula sepakan bebas tidak jauh dari petak penalti untuk menambah gol. Minit ke-30 menyaksikan Wan Zack Haikal Wan Nor pula melepaskan peluang keemasan dengan rembatan yang tersasar daripada umpanan leret cantik Gurusamy Govandar Kandasamy yang mengatasi dua pemain pertahanan lawan.
Pada minit ke-38, satu lagi kesempatan gol buat Lebanon terbentang menerusi Haidar yang melepaskan rembatan kaki kirinya dan menewaskan Khairul Fahmi, namun hanya palang menjadi penghalang yang menghampakan pelawat. Stadium Nasional gamat sekali lagi dengan sorakan ceria penonton apabila Wan Zack Haikal yang mendapat satu lorongan bola cantik Gary Steven Robbat menolak masuk gol kedua Malaysia sekali gus menghampakan lagi penjaga gol lawan, Mohamad Dakramanji yang cuba meluru keluar.
Meraikan gol kedua yang menjarakkan kedudukan sehingga separuh masa pertama tamat, ribuan penyokong negara berpadu tenaga untuk menyanyikan lagu patriotik, Barisan Kita. Malang menimpa Malaysia yang terpaksa bermain dengan 10 orang sebaik sahaja permainan babak kedua mencecah lima minit apabila Gary Steven dikenakan kad kuning kedua oleh Maasaki kerana mengasari Mohamad Haidar. Malang berganda tiba pada minit ke-64 yang menyaksikan Lebanon merapatkan kedudukan 1-2 menerusi tandukan Chadi Atie yang menewaskan Khairul Fahmi malah Mohamad Muslim yang cuba mengeluarkan bola di garisan gol, masih gagal menyekatnya.
MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd. Affize Faisal Mamat (Wan Zaharulnizam Zakaria), Mohamad Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Irfan Fazail (Izzaq Faris Ramlan), Syahrul Azwari Ibrahim (Abdul Shukur Jusoh), Gurusamy Govandar Kandasamy, Gary Steven Robbat, Muhammad Zubir Mohd. Azmi, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohamad Fandi Othman.
LEBANON: Mohamad Dakramanji, Jad Noureddine, Mohamad Haidar, Omar Ouaida, Nour Mansour, Haytham Faour, Ali Bazzi, Chadi Atie (Mustapha Chahine), Kassem Leila, Mahmoud Kojok, Abdallah Taleb
(utusan malaysia)
(utusan malaysia)
Rayyan~
- Menjadi Skuad Bola sepak Malaysia selepas menjuarai Sukan Sea dan AFF CUP
- Menjadi Ong Kim Swee & Rajagobal "coaching" Skuad Malaysia Baru
- Menjadi usaha FAM sejak sekian lama dikritik oleh pemerhati bola sepak tanah air
- Menjadi "player" yang antaranya pernah bermain di liga slovakia. Perlaburan yang berbalo baloi
- Menjadi kenyataan juga menewaskan pak arab yg dulunya apabila kalah kita sering berikan alasan bahawa mereka "tinggi" dan "extra power" daripada "player" Malaysia
- Menjadi antara 12 negara yg bakal berentap utk pusingan 3 kumpulan bulan depan
- Menjadi antara 12 negara Asia terbaik dalam pusingan olimpik kali ini
- Menjadi pasukan tunggal dari ASEAN yang berentap dalam pusingan berikutnya
- Menjadi Gergasi Baru ASEAN seterusnya ASIA sedkit masa lagi...Ayuhhhh...
- Menjadi atau tidak apabila pemain import mewarnai lanskap bola sepak Malaysia, kita tunggu musim akan datang.
TAHNIAHHHH HARIMAU MALAYA jr
dr
Pena Rayyan
0 comments