Assalamualaikum wbt & salam sejahtera. Apa khabar sahabat-sahabat Pena Rayyan? Moga sihat-sihat belaka. Seperti sahabat sedia maklum, sejak minggu lepas media-media arus perdana & alternatif beremba (loghat kedah yang bermaksud bersaing) dalam menyajikan berita berkaitan BERSIH, skandal seks Azmin & terkini temuramah bersama Mak Tom (ibu kepada YB Azmin Ali). Kita sebagai pembaca "dipaksa" untuk "extract" & "filter" bahan yang dipaparkan. Kekadang sy sendiri & sahabat mudah "jump to conclusion" dek dimainkan propaganda & emosi. Justeru itu, pada kali ini sy bawakan perkongsian berkenaan "kewartawanan". Mudahan ia sedikit sebanyak membantu membimbing kita para "blogger" dalam menulis yang mana kita semua adalah "wartawan" yang tidak terikat dengan etika kewartawanan tapi terikat dalam konteks TANGUNGJAWAB KETIKA MENYAMPAIKAN SESUATU (KEBENARAN)!! Mari ikuti kupasan pada kali ini.
Penyoal : Apakah yang pertama anda lakukan ketika anda harus mengurus negara?
Confucius : Tentulah meluruskan bahasa!!
Penyoal : Mengapa?
Confucius : Jika bahasa tidak lurus, apa yang dikatakan bukanlah apa yang dimaksudkan. Apa yang seharusnya dilakukan tetaplah tidak dilakukan. Jika tidak dilakukan moral dan seni akan merosot. Jika moral dan seni merosot, keadilan pun tidak akan jelas arahnya. Jika keadilan tidak jelas arahnya, rakyat akan bingung. Justeru, kita tidak boleh bercakap atau menulis sesuka hati. Inilah yang penting!!
Agaknya, apakah pentingnya etika yang ditekankan Confucius itu dengan dunia kewartawanan? Dalam hubungan ini, mata pena lebih tajam daripada pedang tentu relevan. Kesalahan doktor dikuburkan bersama mayat, kesalahan wartawan dan editor dibaca oleh orang ramai. Dengan ‘kuasa’ mereka, wartawan dapat sahaja menyalahgunakan kebebasan yang diberikan kepada mereka.
Etika berasal daripada bahasa Yunani, ethos yang bermaksud norma-norma, nilai-nilai dan kaedah-kaedah yang dapat mengatur tingkah laku manusia dalam hidup bermasyarakat. Etika membahaskan aspek baik dan buruk dalam perilaku.
Simorangkir di dalam buku Etika Jabatan mentakrifkan etika sebagai pandangan manusia dalam berperilaku menurut ukuran dan nilai baik.
Sidi Gazalba menjelaskan etika sebagai teori berkenaan tingkah laku manusia dipandang daripada segi buruk, yang ditentukan oleh akal.
Bourke (1966) mentakrifkan etika sebagai daya intelek manusia yang membolehkan mereka meng-gunakan taakulan bagi menentukan dan membezakan yang baik dengan yang buruk bagi perkara yang berkaitan dengan kehidupan mereka.
Aristotle menjelaskan persoalan etika di dalam Nicomachean Ethics pada abad kelima. Bagi beliau, tujuan seorang itu beretika atau berkelakuan baik adalah semata-mata mencari kebahagiaan. Hanya manusia menggunakan akal fikiran bersikap rasional dan ini yang menentukan baik buruknya perlakuan seorang itu. Maksudnya, Aristotle berpendapat manusia mampu memikirkan soal etika berdasarkan akal yang waras.
Bagaimanapun, pandangan beliau disanggah oleh golongan ahli falsafah thomistik. St. Thomas Aqunias mengkritik pandangan dan pendirian Aristotle pada kurun ke-13. Mengikut beliau, etika bukan sekadar difikirkan dengan menggunakan pendekatan akal manusia meskipun beliau tidak mengetepikan seratus peratus pandangan Aristotle itu. Bagi golongan ahli falsafah thomistik, soal etika dapat dibahaskan bagi mencapai kebenaran sekiranya individu itu mampu mentafsirkannya mengikut konteks kejadian alam semula jadi.
Kemudiannya, pendirian ini ditentang oleh Immanual Kant. Kant berpendapat, sukar bagi manusia memberikan bukti berdasarkan aliran falsafahnya berkenaan kewujudan Tuhan. Justeru, Kant menolak soal ketuhanan dan juga sifat semula jadi manusia sebagai panduan dalam hal berkaitan pertikaian berkenaan perlakuan manusia. Menurut Kant (1977), sekiranya manusia tidak bebas melakukan sesuatu, maka tidak ada gunanya mengajar mereka bagaimana melakukannya. Selain itu, sekiranya manusia itu akan hidup untuk selama-lamanya, dia tidak perlu memikirkan masalah balasan pada kemudian hari nanti dan sekiranya Tuhan tidak wujud, maka seorang itu dianggap bijak apabila dia mengamalkan doktrin yang benar.
Sebenarnya daripada segi teori, tiga bentuk etika komunikasi terawal digunakan secara sedar ataupun tidak oleh kebanyakan pengamal komunikasi, termasuk wartawan di negara ini. Tiga bentuk etika komunikasi terawal itu dinyatakan oleh Merrill pada 1974 adalah etika absolutist, etika antinomian dan etika situationist.
Bagi etika absolutist, prinsip yang dipegang wartawan menjadi garis panduan yang dianggap sebagai perundangan. Pengamalnya menilai berita hanya daripada sudut nilai berita, tanpa mengambil kira kesannya pada pembaca, masyarakat dan negara.
Pengamal etika antonomian melaksanakan tugas berdasarkan apa-apa yang dirasakan baik oleh mereka. Mereka tidak memiliki prinsip etika, sebaliknya hanya bersandarkan naluri sebagai pegangan. Mereka tidak dikuasai oleh mana-mana pihak. Mereka bebas dan cuba memainkan peranan semak dan imbang sehingga dicap sebagai anti-establishment.
Etika situationist banyak diamalkan oleh wartawan terutamanya di negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Etika itu adalah adunan daripada etika absolutist dan etika antinomian. Menurut etika ini, wartawan dapat mencorakkan berita mengikut keadaan, dengan mengambil kira kesan ke atas masyarakat dan negara.
Demi kepentingan semua pihak, wartawan perlu beroperasi berlandaskan sistem etika, iaitu etika kewartawanan, etika masyarakat dan etika pegangan agama masyarakat. Kebebasan yang disalah guna membawa kehancuran kepada masyarakat. Itu sebabnya wartawan perlu berpegang pada etika kewartawanannya sebagai panduan semasa bertugas.
Wartawan perlu bertanggungjawab dengan tidak meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat, bangsa dan negara. Untuk itu, wartawan perlu berpegang pada Tatasusila Kewartawanan Malaysia, 1989 dan Kod Perilaku Profesional Anggota Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM). Kod itu adalah garis panduan sistematik yang menentukan peraturan dan mengawal tingkah laku anda sebagai wartawan, bukannya untuk mengongkong anda sebagai wartawan. Kod itu menggariskan perkara yang sesuai dan tidak sesuai diamalkan bagi menjaga nama baik diri dan profesion. Anda perlu menghayati dan mengamalkannya supaya anda tidak tergelincir dari landasan. Kewujudan kod etika itu akhirnya bertujuan meningkatkan profesionalisme dan kewibawaan anda sebagai wartawan. Kod etika juga dapat membantu wartawan menghasilkan laporan yang objektif, adil, bertanggungjawab dan tepat.
Kod itu dapat membimbing wartawan ke arah tingkah laku dan tindakan yang bertanggungjawab ke atas diri, orang lain, bangsa, agama dan negara berteraskan kejujuran dan kebenaran. Dengan sikap itu, wartawan dapat menentukan sama ada apa-apa yang dilakukannya wajar ataupun tidak, baik ataupun buruk, patut ataupun tidak patut, termasuk daripada segi cara mendapatkan berita, menulis dan mempersembah-kannya kepada pembaca.
Dalam ucapan semasa menerima anugerah Ramon Magsaysay Foundation pada 1994, Tan Sri A. Samad Ismail menyatakan, pengarang dan wartawan wajar berpandukan hati nurani sendiri semasa menjalankan tugas, kerana dalam banyak hal mereka tidak berbeza daripada peranan seorang hakim. Mengikut beliau, hakim membuat keputusannya berdasarkan hukum dan undang-undang negara. Wartawan menimbang, menilai dan mengukur bahan-bahan maklumat yang bakal disiarkan pada hari esoknya berdasarkan nilai-nilai tertentu profesionnya. Namun, akhirnya dia perlu membuat keputusan atau judgement berdasarkan hati nuraninya sendiri. Umpamanya, perkelahian antara seorang Melayu dan Cina di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur memenuhi segala syarat sebuah berita yang baik, tetapi persoalannya, wajarkah berita itu disiarkan? Adakah anda wajar menerima hadiah daripada penganjur? Jangan sampai anda ‘termakan budi’ sehingga menyebabkan anda tidak lagi bersikap objektif dan profesional. Persoalan etika adalah persoalan yang kompleks, tetapi akhirnya anda perlu bersandar pada hati nurani anda supaya tidak timbul konflik kepentingan semasa menjalankan tugas sehingga dapat menjejaskan tahap profesionalisme.
Tatasusila Kewartawanan Malaysia Wartawan mendukung prinsip-prinsip Rukun Negara dan cita-cita nasional yang terkandung di dalamnya :
- Menyedari peranannya untuk memberikan sumbangan kepada proses membina negara.
- Menyedari kewajipannya untuk memberikan sepenuh sumbangan pada memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional.
- Menyedari bahaya komunisme, perkauman dan ketaksuban agama kepada kestabilan dan keselamatan negara.
- Menyedari pentingnya masyarakat liberal, toleran, demokratik dan peranan tradisi kewartawanan bebas dan bertanggungjawab yang berkhidmat untuk rakyat dengan melaporkan fakta-fakta yang benar tanpa rasa takut atau berat sebelah
- Menyedari kewartawanan yang amanah adalah suatu aset kepada negara.
- Menyedari pentingnya menegakkan nilai pekerti masyarakat yang baik dan asli.
- Menyedari bahawa tiada sebarang sekatan boleh diadakan bagi penyertaan seseorang ke dalam profesion wartawan
- Menyedari kewajipan kaum wartawan untuk memberikan sumbangan kepada penggubalan sesuatu dasar negara.
Maka dengan ini berpandu kepada Tatasusila Kewartawanan Malaysia yang berikut :
- Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang benar.
- Dalam melaksanakan tugas ini, wartawan menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.
- Wartawan perlu menggunakan cara yang wajar bagi mendapatkan berita, gambar ataupun filem dan dokumen.
- Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tidak tepat perlu diperbetul.
- Wartawan perlu menghormati kerahsiaan sumber berita.
- Wartawan perlu berbudi pekerti semasa menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan atau tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.
- Wartawan perlu menghindarkan siaran berita atau rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.
- Wartawan perlu memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka. [1]
Masyarakat Islam hari ini mendambakan berita yang benar dan siapakah yang diharapkan berpegang teguh kepada kebenaran melainkan berita daripada orang Islam sendiri. Mana-mana wartawan berjuang dengan ikhlas mencari berita yang benar dan menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat sebenarnya menjalankan tugas murni di sisi Islam. Itulah etika kewartawanan Islami yang semakin tidak dihayati sebahagian pengamal media hari ini, bahkan dalam kalangan pengamal media beragama Islam sendiri. Selama mana kita tidak berpegang kepada etika kewartawanan Islami, selama itulah kita tidak mampu pergi jauh dan menjadi sumber berita yang mempunyai kredibiliti serta diterima ramai.
Islam begitu mementingkan kebenaran bukan saja dalam laporan pemberitaan bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita. Contohnya, pada sifat Rasullulah SAW yang terkenal "al-Siddiq" yang membawa maksud benar dalam tutur kata dan tingkah laku. Kebenaran adalah isu pokok dalam ajaran Islam, bahkan Islam menggesa umatnya bercakap benar walaupun pahit terutama apabila kebenaran itu ada ketikanya kena batang tubuh sendiri yang menuturkannya. Berapa ramai sahabat dan salafussoleh yang apabila ditegur mengakui kesilapannya kerana kuatnya mereka berpegang pada prinsip kebenaran.
Diriwayatkan oleh Jabir, Baginda SAW menyebut yang mafhumnya: “Tiada sedekah yang lebih dicintai Allah daripada bercakap benar.” (Hadis riwayat Baihaqi) [2]
Rayyan~
- Setiap yang kita sampaikan semuanya merupakan saham di akhirat. Maka sampaikanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit!
- Setiap batang Pena mengalir puluhan ribu perkataan, maka menulislah yang HAQ. Mudahan penulisan kita sedikit sebanyak mampu membantu menjauhkan kita dari azab api neraka!
[2] Hayati Etika Kewartawanan Islami Sampaikan Berita Benar, Adil Oleh Nik Roskiman Abdul Samad (BERITA HARIAN)
0 comments